Friday 25 March 2016

KEPAKARAN YANG MEMBERIKAN KEPUASAN

Entri    : 4
Teks     : Farizah Md Sapie


     Alhamdulillah, saya dapat bersiaran sekali lagi setelah beberapa hari cuba untuk membina dan mengekalkan semangat menulis secara konsisten. Sebenarnya saya  seperti orang lain yang setiap hari pasti ada benda atau perkara baru yang dipelajari. Hanya kerana saya seorang yang tidak memperdulikan apa yang berlaku seharian, maka pengalaman baru yang dialami akan di simpan sendiri tanpa ada rasa teruja untuk berkongsi dengan orang lain.

     Tetapi hari ini saya ingin berkongsi rasa bagaimana sesuatu pekerjaan itu boleh menjadikan kita terpaksa belajar bidang yang di luar dari kepakaran kita. Seperti saya, sebagai seorang jururawat, saya perlu merawat  pesakit dan memenuhi keperluan asas mereka di kala mereka tidak mampu melakukannya sendiri.Oleh kerana kepakaran saya merawat pesakit yang sedang bertarung dengan kematian atau kecederaan yang serius, otak saya akan bekerja keras untuk mempastikan pesakit saya selamat. Baru ada rasa kepuasan di dalam hati sekiranya saya berjaya menyelamatkan satu nyawa dan saya akan bersyukur kerana ilmu yang saya ada, dapat saya gunakan dengan sebaiknya.

     Seperti baru sebentar tadi, saya mendengar panggilan kecemasan dari interkom. Pada masa itu saya sedang menunggu untuk berbincang dengan orang atasan mengenai pelan lantai bangunan baru. Sememangnya saya tidak faham tentang pelan lantai dan saya pun bukannya lulusan arkitek. Hanya sempat belajar asasnya di Sekolah Teknik dahulu dan itu pun sudah hampir 20 tahun lalu. Bila saya mendengar panggilan kecemasan yang berlaku berhampiran tempat saya yang kebanyakkannya adalah ruang pejabat, saya pun meluru keluar dan mendapati seorang pesakit  telah berhenti bernafas dan tiada denyutan nadi yang dilihat di skrin.

     Kenapa saya memilih untuk menyelamatkan pesakit sedangkan akan ada ramai lagi jururawat yang akan datang menyerbu bila mendengar panggilan kecemasan tersebut? Seperti yang saya katakan di atas, pengalaman baru akan sentiasa kita alamai pada setiap hari. Walaupun kejadiannya adalah sama, tetapi pengalaman pasti akan berbeza-beza. Ada masanya kita sudah sedaya upaya menyelamatkan pesakit yang "straight line" di skrin monitor tetapi tidak berjaya. Tetapi ada kalanya "straight line" itu akan menjadi rithma yang membuatkan kita bersyukur kerana telah berbakti kepada orang dan seterusnya kita menghargai apa yang kita lakukan itu. Saya dan rakan-rakan berjaya menyelamatkan satu nyawa dan saya berpuashati dengan diri sendiri kerana berjaya memberikan suatu kebaikan kepada orang.

     Sekiranya saya memutuskan untuk menunggu perbincangan dengan orang atasan mengenai bidang yang bukan kepakaran saya, sudah tentu saya akan rasa hari ini rutin hidup saya biasa-biasa sahaja. Walaubagaimana pun saya meneruskan niat saya untuk mempelajari "bidang baru" iaitu membaca pelan lantai tersebut setelah saya pastikan pesakit tadi berada di ICU dan telah betul-betul stabil.

     Saya juga tidak pernah terfikir yang jururawat juga perlu belajar macam-macam bidang seperti kaunselor, Pakar Diet/pemakanan, seorang cikgu/guru kepada pelajar jururawat dan pesakit, pakar IT dan sebagainya. Sesungguhnya bidang kejururawatan hanyalah salah satu batu loncatan untuk kita miliki pelbagai kepakaran lain.

Sekian coretan saya.






































No comments:

Post a Comment