Thursday 17 March 2016

PENGENALAN DIRI





Entri   :1
Teks   :Farizah Md Sapie
Foto   :Carian Google

Bismillah..
Assalammualaikum dan Salam Perkenalan

     Terlebih dahulu diucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Anys Idayu Zakaria. Guru Online Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) kerana membuka jalan untuk saya mencuba cabang baru dalam berbisnes.

     Nama saya Farizah Md Sapie, berasal dari Kluang Johor dan saya sememangnya anak jati Johor. Dilahirkan pada Disember 1971, merupakan anak kedua dari 4 orang adik beradik yang berselang bunga. Pembaca pernah dengar pepatah selang bunga? Istilah ini digunakan apabila adik beradik adalah berselang seli lelaki dengan perempuan. Saya mempunyai seorang abang dan seorang adik lelaki dan perempuan. Sebagai anak kedua, ada fakta menyatakan anak kedua memiliki jiwa yang kreatif dan cenderung untuk membebaskan diri. Biasanya anak kedua juga lebih senang bersendirian daripada berkumpul dengan anggota keluarga lainnya. Tetapi betulkah saya juga begitu?

     Kalau jiwa kreatif tu rasanya saya ni tangan keras..hehehe... Bak kata pepatah, kalau tak boleh bermain bola dinamakan kaki bangku.. Tetapi cenderung untuk membebaskan diri saya, memang saya tidak menafikannya. Ini adalah kerana,  di awal persekolahan sahaja saya tinggal dengan ibu bapa. Saya mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Dato Ibrahim Majid yang terletak di kampung saya. Di sini saya disenangi oleh guru-guru mungkin kerana pengaruh ayah yang juga guru di sekolah agama. Jadi merasalah saya berguru dengan ayah sendiri...Pernah juga sekolah menjadikan rumah kami lokasi untuk Klinik Kesihatan menjalankan pemeriksaan kesihatan pergigian murid-murid di kampung itu. Kenangan terindah di sekolah rendah...

     Prestasi yang mumtaz melayakkan saya ke sekolah Rancangan Khas kerajaan di bandar Kluang. Sedaya upaya guru kelas waktu itu Cikgu Ridwan, memujuk ayah saya untuk melepaskan saya ke asrama High School Kluang setelah penilaian Darjah 5 di umumkan. Bermulalah pembebasan diri saya dari hidup bersama keluarga. Belajar naik turun bas untuk balik ke kampung sendirian, outing ke bandar bersama kawan-kawan dan bertandang ke rumah kawan amat menyeronokkan. Oleh kerana saya anak perempuan pertama dalam keluarga, maka pergerakan saya  terbatas, pemerhatian yang ketat dari orang tua dan saya juga menerima pendidikan dan ajaran yang tegas dari mereka. Alhamdulillah, saya dapat menjaga diri saya pada masa itu sehinggalah saya berpindah sekolah ke Teknik Melaka sebelum melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 di Kluang semula.

     Sementara menunggu keputusan besar seperti SPM dan STPM, saya juga sempat belajar menaip dan trengkas serta menimba pengalaman bekerja di kilang sebagai kerani perkapalan. Remaja perempuan katakan, ilmu mesti di timba selagi masih berkesempatan. Ada sahaja permintaan dari saya supaya tidak duduk diam di rumah. Alhamdulillah, ayah tidak pernah membantah asalkan saya pandai menjaga diri dan buat perkara-perkara baik.

     Oleh kerana keputusan STPM yang agak lewat keluar, saya mencuba nasib memohon tawaran untuk belajar kejururawatan yang ditawarkan oleh salah satu badan swasta terbesar di Johor. Saya diterima masuk sebagai kumpulan pertama Kejururawatan Diploma di Malaysia setelah kumpulan perintis diploma diiktiraf oleh kerajaan. Selama 3 tahun hidup di Kuala Lumpur, saya berjaya menamatkan pengajian di sana. Pengalaman menaiki bas mini chowkit, bersesak-sesak di Puduraya sewaktu balik berhari raya atau balik kampung juga telah saya alami. Almaklum tahun 1993 sehingga 1995 belum ada perkhidmatan komuter atau LRT lagi di Kuala Lumpur.

     Alhamdulillah, saya telah diserap bekerja di salah sebuah hospital di selatan tanah air kerana saya perlu berbakti, bukan sahaja kepada hospital yang telah biaya pembelajaran saya, malah ingin membalas budi kepada kedua orang tua saya. Sayalah dalam keluarga yang terlebih dahulu tinggal di asrama dan kini terlebih dahulu bekerja. Namun, saya sangat terkilan kerana ayah meninggal tidak sampai setahun saya bekerja. Sangat sedih dan terkilan kerana tidak sempat untuk ucapkan terima kasih kerana ayah sentiasa penuhi keinginan saya. AL-FATIHAH untuk ayah tersayang Md Sapie bin Md Ikhsan.

     Masa berlalu dengan pantas, tidak disedari sudah 11 tahun saya berkhidmat di hospital tersebut sehingga sempat melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Ijazah dalam bidang yang sama. Keinginan untuk membebaskan diri datang lagi. Kali ini saya memohon untuk bekerja di Timur Tengah. Bermulalah perjalanan hidup saya yang sentiasa inginkan tempat dan suasana baru.

     Dapatlah saya merasa bagaimana hidup merantau di negara orang, merasai empat musim dan bersesak-sesak melakukan ibadah dan melihat sendiri keagungan Allah bila terpandang Kiblat bagi umat islam.Atas persetujuan En suami, saya bekerja selama 2 tahun sebelum pulang ke Malaysia. Oleh kerana pernah merasa mewah dengan riyal, kini saya cuba berjinak-jinak dengan berniaga.

     Seminar Harimau Menangis yang saya hadiri awal tahun 2016 telah menyedarkan saya bahawa saya perlu ada dua pekerjaan dalam satu masa dan tips dari Tuan Irfan Khairi (Pakar Motivasi dan Strategi Perniagaan Internet) sebagai speaker undangan pada masa itu membuatkan saya menjejaki cikgu Anys untuk mempelajari Blogs Perniagaan. Bagaimana ingin memulakan perniagaan jika asasnya tiada? Itulah yang membuatkan percubaan saya untuk berniaga gagal kerana tiada ilmu. Semoga Allah terus memberikan saya masa dan peluang untuk saya menimba ilmu dengan cikgu baru saya seterusnya dapat berkongsi ilmu dan segala info yang berguna kepada pembaca budiman.

    Sekian, wasalam dari saya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjHvvCZaSH78tJ8MTdQx7BhcwL1b4vLixSgnxRc8tVutzYCRdVXyLj8fEwXECP-Baj-pZKcMd0N44bvlPFunrzom2WjqMkK7Cfzyg20WxuX5F-F0qsIkitLGZ2XshSQnXcUgi1_yBrcsIbw/s1600/2014-11-22+23.07.24+%25281%2529.png

No comments:

Post a Comment